Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Inggeris: Selangor International Islamic University College; pernah dikenali sebagai: Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR)) telah ditubuhkan pada 1995 sebagai kolej swasta dan dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan di bawah Akta IPTS 1996. Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari, 1995 juga membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu.
Sehingga kini KUIS masih mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan golongan teknokrat Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangun dan mengembangkan ilmu pengetahuan islam.
Selain itu juga, KUIS juga berperanan menyediakan alternatif bagi lepasan sekolah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi
Kampus sementara yang mana KUIS memulakan operasi awalnya terletak di bangunan sementara di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Pada tahun 2000, KUIS telah berpindah ke kampus baru yang dibina meliputi seluas 104 ekar di kawasan yang strategik di Bandar Seri Putra, Kajang. Lokasi baru ini terletak kira-kira 25 km dari selatan Bandaraya Kuala Lumpur dan 20 km dari utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.
Kampus ini secara rasminya dibuka oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan yang ke-9 pada 25 Mei 2002. Aspirasi dan komitmen KUIS ialah supaya menjadi institusi bertaraf dunia dan memimpin dalam pendidikan Islam swasta di Malaysia.
Sejak penubuhannya, KUIS mengalami pertumbuhan populasi pelajar daripada hanya memiliki 60 orang pelajar pada 1995 meningkat kepada lebih daripada 4,500 pelajar termasuk kemasukan pelajar antarabangsa dari negara-negara ASEAN, Timur Tengah dan benua Afrika hinggalah ke China.
Sehingga kini, KUIS telah menghasilkan lebih dari 3,000 graduan
Pusat Pengajian Siswazah ditubuhkan pada Disember 2008 dan mula menawarkan program sarjana pentadbiran perniagaan pengkhususan dalam bidang muamalah. Pusat ini turut bertanggungjawab mengendali dan menyelaraskann tawaran program akademik di peringkat pasca siswazah dalam pelbagai bidang. Selain itu, PPS turut berperanan mengendalikan program-program kesarjanaan dan ilmiah menerusi penganjuran seminar, forum, diskusi ilmiah dan bicara tokoh bertujuan menyemarakkan lagi budaya intelektual di dalam kampus.
Kini Pusat Pengajian Siswazah semakin berkembang dengan penawaran tiga program pasca siswazah; dua di peringkat Sarjana iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Muamalah) dan Sarjana Syariah Pengurusan; dan satu di peringkat Doktor Falsafah iaitu Doktor Falsafah Islamiyyat dengan lima pengkhususan; Syariah, Usuluddin, Pengajian Islam, Pengajian Perniagaan dan Bahasa dan Kesusasteraan.